Contoh Teks Ucapan Guru Besar (PPISMP IPG)
BIBLIOGRAFI
Assalamualaikum,
salam sejahtera dan salam satu Malaysia saya ucapkan kepada Tuan Pengacara
Majlis, Yang Berbahagia Puan Sazarith Zara binti Abd.Rashid, Guru Penolong
Kanan, Sekolah Kebangsaan Dato Aminnudin Baki, Yang dihormati, Encik Arbak
Mansor bin Sofian, GPK 1, Guru-guru Penolong Kanan, Guru Hal Ehwal Murid dan
Guru Hal Ehwal kokurikulum, Ketua-ketua Panitia, guru-guru,barisan Badan
Kepimpinan Pengawas, dan para pelajar yang dikasihi sekalian
Memetik pegaga dibuat jamu,
Jamu hidangan anak pendita,
Bacalah untuk menimba ilmu,
Umpama pelita terangi gelita.
Jamu hidangan anak pendita,
Bacalah untuk menimba ilmu,
Umpama pelita terangi gelita.
Anak-anak
yang dikasihi sekalian,
Pada tahun ini sekolah ini amat
berbesar hati dengan agenda yang dirangka oleh Panitia Bahasa Melayu (PBM) iaitu program kempen membaca anjuran Dewan
Bahasa dan Pustaka. Saya amat berterima kasih di atas usaha gigih ahli
jawatankuasa PBM dalam menguruskan segala aktiviti yang telah dirancang
sepanjang satu bulan ini. Antara aktiviti yang telah di adakan ialah pameran
tentang buku-buku ilmiah, jualan buku,forum-forum, pertandingan Nadi Ilmu
Amalan Membaca (NILAM) dan slot pengkongsian ilmu dari pihak DBP. Tema program
ini ialah “Membaca Pelita Ilmu”. Saya amat berharap agar para pelajar dan
guru-guru dapat memberikan kerjasama yang erat kepada ahli jawatankuasa yang
menguruskan program ini.
Para hadirin sekalian,
Program ini dirancang adalah bertujuan
untuk menyemai sikap suka membaca ke dalam diri para pelajar dan warga sekolah
ini. Selain itu, program ini juga bertujuan memberi pengetahuan dan maklumat
berkenaan buku kepada murid-murid sekalian yang akan disampaikan oleh wakil
penerbitan buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di samping, dapat menyemai perasaan cintakan buku.
Anak-anak yang dikasihi,
Dewasa ini, ramai pelajar sekolah sama
ada sekolah rendah dan sekolah menengah semakin tidak minat terhadap amalan dan
budaya membaca Untuk pengetahuan para pelajar sekalian pada tahun 2005, kajian
yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) jelas menunjukkan
bahawa, rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku sepanjang tahun. Buku-buku
yang dibaca dalam tempoh setahun itu pun adalah bahan bacaan santai seperti
komik, majalah dan akhbar. (Zain, 2016) Apa yang boleh saya
simpulkan disini bahawa, ramai rakyat Malaysia terutamanya pelajar, hilang
minat terhadap budaya membaca. Mungkin hal ini berlaku disebabkan oleh amalan
budaya membaca yang tidak dipupuk dan diterapkan dalam gaya hidup anak-anak
ketika mereka kecil lagi iaitu ketika dibangku sekolah rendah. Jadi pihak kerajaan dan pihak sekolah sendiri
telah melakukan pelbagai agenda dan perancangan diperingkat sekolah rendah bagi
membangunkan semula pelestarian amalan membaca dalam kalangan pelajar sekolah
rendah. Antara aktiviti dan agenda yang telah dirangka oleh pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) dan pihak sekolah ialah mengadakan minggu membaca dan
bulan amalan membaca. Selain itu pihak sekolah juga telah mengadakan kempen dan
ceramah pada bulan membaca itu semata-mata untuk memberi kesedaran kepada para
pelajar tentang betapa pentingnya amalan membaca kepada para pelajar.
Guru-guru dan para pelajar yang
dihormati sekalian,
Apakah itu membaca? Membaca adalah satu
tugas minda yang kompleks dan melibatkan kemahiran mengenal dan menyebut huruf.
(Halimah Badioze Zaman, 1994) . Amalan membaca ini
mempunyai banyak kebaikannya daripada keburukan.
Pepatah arab ada menyatakan tuntutlah
ilmu hingga ke negera China kerana Ilmu itu amat berkait rapat dengan pembacaan,
daripada proses membaca para pelajar itu
dapat menimba ilmu pengetahuan yang banyak .
“Bacalah
Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan..”
(Surah
al-‘Alaq 96:1)
Perkara utama yang disebutkan di dalam
wahyu tersebut ialah “bacalah”. Allah tidak suruh kita meneroka tetapi Allah
menyuruh kita membaca kerana daripada pembacaan, kita dapat menimba ilmu
pengetahuan yang sebenarnya tiada mempunyai batasan. Arahan membaca di dalam
surah tersebut tidak hanya terhad kepada fahaman membaca di atas kertas sahaja
tetapi turut melibatkan perbuatan memahami sesuatu pengetahuan. (Ujang, 2009) . Apabila pelajar
memperolehi ilmu, pelajar boleh mengunakan ilmu yang kita ketahui dalam
pembelajaran. Misalnya, pembacaaan berkenaan tempat-tempat sejarah di Malaysia,
kita boleh mengunakan apa-apa sahaja pengetahuan yang kita perolehi dari dalam
buku itu untuk ditulis di dalam karangan ketika menduduki peperiksaan kelak. Selain
itu juga daripada amalan membaca, muri-murid boleh memupuk kesedaran lahiriah
dan rohaniah dan sekaligus dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji. Memabaca
amat sinonim dengan ilmu, maka bacalah untuk menjadi seseorang yang berilmu. (Zainafsiah,
2011) Kata-kata yang berbunyi:“orang yang berilmu mempunyai kekuatan untuk
menilai dan berfikir dengan matang dan kebijaksana berasaskan nilai kebenaran.”(Ujang, 2009) Kata-kata itu jelas
menunjukkan bahawa apabila seseorang itu membaca maka dia dapat melihat dan
mengetahui sesuatu yang orang lain tidak ketahui, murid-murid dapat mengetahui
hakikat kedunian yang semakin kejam dan daripada pembacaanlah murid-murid akan
buka mata dan sedar akan setiap kesalahan dan baik buruk sesuatu perkara.
Daripada amalan membaca juga kita mengetahui nilai-nilai kemanusiaan dan
daripada membacalah kita boleh mengenali nilai empati yang sebenar. Kesedaran
sebegini tidak boleh diperolehi dengan hanya menonton siaran hiburan ataupun
bermain permainan video, tetapi kesedaran sebegini boleh diperolehi dengan membaca
dan saya yakin murid-murid sekalian akan berubah 360 darjah menjadi seorang
yang lebih baik nilai pekertinya dan sahsiah dirinya.
Guru-guru dan anak-anak yang dikasihi sekalian,
Jika murid itu dapat berubah sikapnya
kerana amalan membaca, pihak sekolah seharusnya sudah boleh berlapang dada dan
menarik nafas lega kerana kesedaran dalam membaca itu akan menyebabkan, tidak
ada lagi masalah displin yang akan
dicetuskan oleh pelajar. Hal ini demikian kerana, salah satu faktor berlakunya
masalah displin adalah disebabkan kurangnya kesedaran pelajar terhadap risiko
yang akan mereka tanggung daripada perbuatan salah laku mereka tersebut. Setelah
segala kesedaran diperolehi daripada pembacaan, murid-murid akan menerapkan
perasaan gerun dan takut untuk melakukan kesalahan pada diri para pelajar.Jika
masalah displin dapat dikurangkan pada peringkat sekolah tidak mustahil ia
dapat menyumbang kepada penurunan kadar jenayah di dalam negara Malaysia dan
sekaligus dapat mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari
jenayah.
Guru-guru serta para-pelajar yang
dikasihi sekalian,
Membaca juga dapat meningkatkan daya
kreativiti, imaginasi dan gaya pemikiran seseorang pelajar. Hal ini demikian
kerana daripada pembacaan sesorang lebih terbuka pemikirannya. Mereka akan
cenderung untuk berfikir diluar kotak dan cuba membayangkan situasi dan agenda
yang berlaku dalam pembacaan mereka. Sekaligus menyumbang ke arah pembentukkan
insan yang kreatif. Di dalam buku yang berjudul the arts of reading yang dikemaskini oleh Morag Styles dan Evelyn Arizpe jelas menyokong pendapat saya ,
beliau menyatakan bahawa “saya
berasa kagum kerana dengan membaca naratif, ia telah menyumbangkan suatu kuasa yang
menggerakkan, mengajar dan menggalakkan kita untuk menggunakan imaginasi”. Daripada kata beliau jelaslah bahawa daripada
membaca kita mampu merubah pemikiran kita untuk menjadi lebih kreatif dan berimaginasi.
Selain itu, membaca juga boleh meningkatkan kemahiran berfikir lalu mencetuskan
daya kreativiti dalam diri,.Kejayaan anda dalam pembacaan ditentukan oleh
jumlah mesej yang diterima daripada keseluruhan mesej yang hendak disampaikan
oleh penulisnya, Sebenarnya, terdapat hubungan akal budi antara kita dengan
buku tersebut. Sewaktu membalik-balikkan halaman buku, anda mungkin memahami
keutuhan segala yang dinyatakan oleh pengarang dan sekali gus membuka minda
kita untuk berfikir tentang kelogikkan dan kebenaran perihal isu yang dibaca
dan boleh mendorong kepada pemikiran kritis dan kreatif (Ibrahim, 1993) . Pemikiran kritis dan kritis ini amat
perlu bagi pelajar bagi menjawap soalan-soalan yang bercorak pemikiran aras
tinggi atau lebih dikenali sebagai KBAT.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Konklusinya, sudah terang lagi
bersuluh bahawa membaca itu merupakan jambatan ilmu (Tinesh, 2011) dan ilmu itu
adalah penyuluh jalan kejayaan. Saya telah menghuraikan secara terperinci
tentang kebaikan membaca malah saya amat menyokong budaya membaca itu. Saya
juga amat bersetuju dengan pendapat bahawa membaca boleh meningkatkan prestasi
sekolah dalam bidang akademik tetapi saya disini tidak hanya menekankan
peningkatan dari segi akedemik semata-mata malahan saya juga mahu menekankan
peningkatan dari segi sahsiah pelajar. Saya tidak mahu membentuk seorang
murid-murid yang hebat IQ nya namun melakukan kekejaman dan kezaliman. Saya tidak
mahu menghasilkan seorang doktor yang menerima rasuah ataupun seorang guru yang
culas tetapi saya ingin membentuk seorang pesawah yang mulia dan peniaga yang
amanah. . Saya berharap dan menyeru kepada murid-murid agar dapat mengikut
program kempen membaca ini dan amat baik kalau murid-murid dapat mengajak dan
menyeru kawan-kawan untuk turut mengikuti program ini.Sebelum saya menutup
ucapan saya ini izinkan saya untuk menyampaikan serangkap pantun untuk murid-murid
yang dikasihi
Buah
mempelam ditepian pagar,
Dipetik sebiji si gadis sunti,
Terima kasih kerana mendengar,
Semoga ilmu tersemat dihati
Sekian terima kasih.Assalamualaikum
Warahmatullahiwabarakatu’
BIBLIOGRAFI
Arizpe, M. S.
(2009). Acts of reading. United State of Amerika: Trentham Books.
Halimah Badioze
Zaman, J. M. (1994). Amalan Pembacaan di Rumah dan di Sekolah. Kuala
Lumpur: Persatuan Pembacaan Malaysia.
Ibrahim, A.
(1993). Bagaimana Membaca Buku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Peggy brogan, l.
K. (1962). Helping Children Reading. United State of America: Holt,
Rinehart and Winstons, Inc.
Ujang, Z. (2009).
Menghayati budaya ilmu. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.
Ujang, Z. (2009).
Menghayati Budaya Ilmu II. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.
Tinesh.
(2011, December 1). Kepentingan Membaca buku. Retrieved Februari 21, 2017,
from
http://tinesh-penulisanbahasamelayu-tinesh.blogspot.my/2011/12/kepentingan-membaca-buku.html?m=1.
Zainafsiah.
(2011, September 4). Kepentingan Amalan Membaca. Retrieved Februari 21, 2017,
from http://zaizak69.blogspot.my/2011/09/kepentingan-amalan-membaca.html.
Zain, S. M.
(2016, Jun 25). Budaya Ilmu dalam Kalangan Rakyat Malaysia. Retrieved
Februari 18, 2017, from klikweb.dbp.my:
http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=1254
Ulasan
Catat Ulasan